Tindakan undang-undang Napster

Dengan fail yang didapati daripada Napster, pengguna mampu menghasilkan album kompilasi CD-R mereka sendiri secara percuma--dan pada asasnya tidak membayar satu sen royalti pun kepada penyanyi/pencipta atau waris mereka.

Ini menyebabkan kemarahan beberapa syarikat rakaman utama, yang serta merta -- pada Disembar 1999 -- mengemukakan saman secara berkumpulan (class action suit) terhadap Napster. Ini memberikan Napster publisiti meluas, dan berjuta pengguna mula menggunakan perkhidmatan Napster. Pengguna Napster memuncak kepada 13.6 juta pengguna pada Februari 2001 (sumber: comScore Media Metrix).

Ketika itu, ramai penyokong Napster yang kehairanan. Kepada mereka, ia kelihatan bahawa perkongsian fail adalah salah satu ciri Internet, dan bukannya semata-mata terhad kepada Napster semata-mata, Napster hanya bertindak sebagai enjin pencari. Ramai yang menyatakan bahawa cubaan menutup Napster hanya akan mendorong orang ramai untuk menggunakan medium berlainan untuk berkongsi fail melalui Internet (seperti yang berlaku dengan aturcara rakan ke rakan seperti Audiogalaxy, aturcara Morpheus, Gnutella, dan KaZaA). Selain itu juga, ramai penyokong Napster bimbang mengenai penggunaan perkataan "tapak" untuk menggambarkan perkhidmatan tersebut (sedangkan ia adalah aturcara dan bukannya laman web), perkataan yang membayangkan bahawa Napster bertanggungjawab menyebarkan fail tersebut dan bukannya membantu orang berkongsi.

Pada Julai 2001, seorang hakim telah mengeluarkan perintah larangan memerintah pelayan Napster ditutup bagi menghalang pelanggaran hakcipta berterusan. Pada 24 September 2001, kes tersebut separuh selesai. Napster bersetuju membayar pencipta lagu dan pemilik hakcipta US $26 juta sebagai pampasan penggunaan muzik masa lalu, dan juga sebagai bayaran muka untuk lesen royalti masa depan sebanyak US$10 juta. Untuk membayar yuran tersebut, Napster berusaha untuk menukarkan perkhidmatan percuma mereka kepada khidmat langgangan. Penyelesaian prototaip diuji pada musim panas 2002, tetapi tidak pernah dibebaskan kepada umum.

Pada 17 Mei 2002, Napster mengumumkan bahawa hartabendanya akan diambil alih oleh firma media Jerman Bertelsmann AG untuk US $8 juta.

Menurut syarat perjanjian tersebut, pada 3 Jun Napster memohon perlindungan Chapter 11 di bawah undang-undang muflis Amerika Syarikat. Pada 2 September 2002, seorang hakim kes bangkrup Amerika menghalang penjualan kepada Bertelsman dan memaksa Napster untuk menjual hartabendanya menurut Chapter 7 undang-undang muflis Amerika. Kebanyakan kakitangan Napster diberhentikan kerja, dan laman web bertukar untuk memaparkan "Napster pernah di sini".

Berkaitan